Tiada tempat lain di dunia yang lebih sesuai untuk menikmati keindahan tumbuhan dan haiwan tropika di dalam habitat semulajadi yang bersih! Malaysia mempunyai pelbagai jenis Taman Negara, dari hutan simpan bakau dan hutan hujan tropika yang segar, hingga Taman Laut yang mempesona. Hutan hujan dan lautan bersuhu hangat yang terletak hanya beberapa darjah ke utara garisan Khatulistiwa ini merupakan tempat paling sesuai untuk mengamati hidupan liar di dalam habitat semulajadinya.
Oleh itu, tidak hairanlah bahawa hampir 75% mukabumi Malaysia masih dilitupi hutan, yang mana lebih kurang 60% dari kawasan tersebut terdiri dari hutan hujan dara. Selaku penyokong Perjanjian Persidangan Rio 1992, Malaysia telah memberikan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% litupan hutan dan pokok selama-lamanya sebagai sumbangan negara di dalam menangani masalah konservasi sedunia. Sebagai sebuah dari dua belas negara yang mempunyai kepelbagaian biologi terunggul di dunia, Malaysia berbangga kerana mempunyai sekurang-kurangnya 15,000 spesis tumbuhan berbunga, 286 spesis mamalia, 150,000 spesis haiwan tidak bertulang belakang (invertebrat), dan 4,000 spesis ikan dan spesis hidupan mikro yang tidak terkira jumlahnya. Tidak menghairankan, tahap kekayaan bio-diversiti setinggi ini yang dijumpai di taman-taman negara di Malaysia menjadi suatu kebanggaan bagi Malaysia.
Antara tumbuhan dan haiwan tropika terbesar dan paling terkenal di Malaysia ialah Badak Sumbu Sumatera, Beruang Madu, Harimau Malaya, Orang Utan, Labah-labah Tarantula Hutan, dan Monyet Belanda. Malaysia Timur amat terkenal dengan bunga Rafflesia - bunga terbesar di dunia.
Selain dari jenis tumbuhan dan haiwan yang pelbagai, Taman-taman Negara Malaysia juga menawarkan berbagai-bagai pilihan aktiviti luar yang mencabar seperti berakit di jeram dan memanjat gunung serta aktiviti riadah seperti memerhati burung atau bersampan di sungai. Para penyelia aktiviti luar profesional yang dilengkapi dengan peralatan yang terkini, boleh membimbing anda di dalam semua aktiviti tersebut
No comments:
Post a Comment