Sunday, August 22, 2010

Hutan Hujan Tropika

Hutan hujan dapat diistilahkan sebagai satu komuniti tumbuhan yang padat dengan pokok-pokok yang mempunyai adaptasi terhadap kelembapan di mana ia mempunyai daun-daun yang lebar walaupun saiz daun bukanlah ciri utama dalam pembentukan jenis hutan hujan. Lazimnya struktur hutan hujan terdiri daripada dua atau lebih peringkat pokok-pokok dan tumbuhan renek yang turut berinteraksi bentuk tumbuhan yang lain seperti pepanjat, palma dan episit.


Hutan hujan tropika merupakan jenis-jenis pembentukan tumbuh-tumbuhan yang bebas serta turut ditentukan oleh faktor alam sekeliling selain daripada kelembapan. Takrif hutan tropika juga merangkumi lingkungan habitat darat dan habitat separa darat yang luas di zon intertropika.

Hutan tropika terdapat di zon tropika di antara 23027 Utara dan 23027 Selatan. Pada masa kini kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia adalah diwakili oleh hutan hujan tropika ini selain daripada hutan hujan tropika di Afrika, Latin Amerika, Amerika Selatan, Indo-Australia dan Asia Selatan.

Struktur hutan tanah rendah di Semenanjung Malaysia adalah satu profil yang berlapis. Lapisan-lapisan itu terdiri daripada pokok-pokok renjong, silara utama, tumbuhan tingkat bawah dan tumbuhan permukaan tanah ( Lampiran 1 ).

Pokok-pokok di lapisan renjong dapat mencapai ketinggian 60 hingga 70m. Kebanyakan pokok-pokok ini adalah daripada famili Dipterocarpaceae dan Leguminosae. Diterocarpaceae sering dikaitkan dengan kumpulan pokok-pokok balak komercial di Malaysia seperti balau, cengal, kapur, keruing, meranti, merawan, mersawa dan seraya.

Lapisan silara utama pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan berbagai famili yang tingginya antara 20 hingga 40m. Misalnya, kedondong, kandis, penarahan dan kelat. Di tingkat bawah pula, terdapat pokok-pokok kecil dan palma yang hidup subur di bawah silara tersebut. Kumpulan tumbuhan sementara bagi lapisan hutan tingkat bawah terdiri daripada anak-anak pokok dan pokok muda. Di lantai hutan pula terdapat anak-anak pokok, palma-palma kecil, tumbuhan renek dan herba ( Lampiran 2 ).

Hutan hujan tropika di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kelas iaitu hutan-campuran ( mixed forest ) dan hutan dominan tunggal ( single-dominant forest ). Hutan campuran seperti hutan Dipterokarpa tanah pamah terdiri daripada berbagai famili tumbuhan manakala hutan dominan tunggal dapat dilihat pada jenis hutan dominan tunggal spesies kapur ( Dryobalanops aromatica ) seperti yang terdapat di Kanching, Selangor. Ia adalah campuran spesies yang berbeza-beza dari segi komposisi flora dan ia berubah mengikut habitat. Pengelasan jenis-jenis kawasan hutan di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan kepada komposisi tumbuh-tumbuhan yang dominan di habitat-habitat tertentu ( Lampiran 3 ). Selain itu, jenis-jenis hutan di Malaysia boleh dikelaskan berdasarkan kepada beberapa faktor lain seperti pengaruh iklim, tanah dan biotik.

Dengan berdasarkan kepada ketinggian kawasan di atas aras laut, hutan ini juga boleh dikelaskan kepada hutan dipterokarpa pamah, hutan dipterokarpa bukit, hutan dipterokarpa atas, hutan oak-gunung dan hutan ericaceous gunung. Dipterokarpa merupakan kumpulan pokok-pokok berdamar famili Dipterokarpa yang terdapat di lapisan sudur hutan dan di bahagian silara utama hutan. Hutan dipterokarpa pamah meliputi semua hutan atau rimba di kawasan tanah dan di kaki-kaki bukit sehingga ketinggian 30m. Hutan dipterokarpa bukit pula adalah hutan di bukit-bukit antara ketinggian 30 hingga 762m manakala hutan antara ketinggian 762 hingga 1200m adalah hutan dipterokarpa atas. Hutan oak-gunung adalah hutan antara paras ketinggian 1200 hingga 1500m. Hutan yang melebihi 1500m adalah hutan ericaceous gunung.

Jenis-jenis hutan ini terjadi akibat daripada perbezaan komposisi tumbuh-tumbuhan flora dan struktur umum yang terkandung dalam hutan itu. Hutan dipterokarpa pamah dan hutan dipterokarpa bukit adalah jenis hutan tanah pamah tropika yang terbesar di dunia. Hutan dipterokarpa atas dan hutan oak-gunung pula merupakan pembentukan jenis hutan pergunungan rendah manakala hutan ericaceous ialah jenis hutan tropika pergunungan tinggi ( Lampiran 4 ).

Hutan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kita. Kegunaannya tidak lagi dinafikan oleh kita. Untuk melindungi hutan, kita harus sedar akan kepentingannya sebelum kita dapat menghayati dan menjaganya untuk generasi yang akan datang.

No comments:

Post a Comment