Hutan bakau adalah istilah umum yang digunakan untuk menghuraikan pelbagai komuniti tumbuhan yang hidup di tepi laut kawasan tropika dan subtropika antara latitud 32o Utara dan 38o Selatan. Hutan ini hanya terbentuk di pantai yang terlindung daripada tindakan ombak kuat. Di kawasan yang berombak kuat, biji benih tidak boleh bertapak dan mengeluarkan akar dengan baik. Pada kebiasaannya, pembentukan hutan bakau yang luas boleh ditemui di kawasan muara.

Di seluruh dunia, luas hutan bakau dianggarkan lebih kurang 15 juta hektar. Daripada keluasan ini, 6.9 juta hektar berada di kawasan Indo-Pasifik, 3.5 juta hektar di Afrika dan 4.1 juta hektar di Amerika Utara termasuk Caribbean.
Di kawasan Indo-Pasifik, hutan bakau yang meluas boleh ditemui di sistem delta sungai utama seperti sungai Ganges-Brahmaputra, Irrawady, Mekong dan juga di kawasan tepi laut yang terlindung oleh tanah besar seperti di Madagascar, Selat Melaka, Kalimantan, Kepulauan Indonesia dan Papua New Guinea.
Mengikut satu anggaran, 60 – 70% pinggir laut negara-negara tropika dibarisi oleh hutan bakau. Hutan bakau yang terbesar yang masih belum terganggu adalah di Bangladesh. Di negara ini keluasan hutan ini dianggarkan lebih kurang 400,000 hektar.

Dari segi ekologi, hutan bakau memainkan peranan yang penting. Persekitaran ini merupakan satu ekosistem yang sangat produktif. Penghasilan yang besar ini seterusnya menyokong rantai makanan hidupan yang pelbagai yang terdiri daripada ikan, krustasea, burung, mamalia kecil dan invertebrat. Tenaga dan bahan organik yang terbentuk di kawasan hutan bakau turut dieksport ke komuniti berdekatan Hutan bakau juga berperanan sebagai kawasan pembiakan untuk sesetengah organisma. Di samping itu, kehadiran hutan bakau di tepi laut turut melindungi kawasan-kawasan pinggir laut daripada ombak dan arus yang besar.
No comments:
Post a Comment